Pengurus Besarnya, Helilia Juana Hashim berkata, kejohanan itu berhak diiktiraf selepas dinilai berdasarkan prestasi yang sangat memberangsangkan sejak enam tahun lalu.

“Selepas mempunyai banyak sekual, tahun ini adalah masa yang tepat apabila menyaksikan kira-kira 240 regu atau 1,200 peserta berhimpun dalam satu kejohanan sama.
“Banyak penganjuran kejohanan sepak takraw tetapi ini adalah yang terbaik dan paling layak,” katanya kepada Utusan Malaysia di kompleks beli-belah Palm Mall di sini hari ini.

Beliau menyampaikan sijil bertaraf nasional itu kepada Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Othman Mohamad sambil disaksikan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Pengarah Majlis Sukan negeri, Fouzee Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd., Abdul Majeed K. Kunheen.

Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2015 mendapat pengiktirafan selepas berjaya menghimpun 1,200 pemain sepak takraw yang berbakat dari seluruh negara yang berlangsung selama empat hari bermula 1 Oktober lalu.

Tambah Helilia Juana, MBOR juga melihat pengiktirafan itu juga sebagai menghargai peranan dan jasa akhbar Utusan Malaysia dalam memperjuang serta menyemarakkan arena sukan sepak takraw.

“Melalui acara ini, kita akan dapat cungkil bakat-bakat baharu untuk bersaing bagi mempertahan serta memperkasakan penguasaan Malaysia dalam sukan sepak takraw,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/sukan/kejohanan-diiktiraf-i-malaysia-book-of-records-i-1.142925